Pages

Wednesday 24 September 2014


APA ITU PENDIDIKAN KHAS?
Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi(pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.
Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.
Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.
Bilangan murid pendidikan khas rendah dan menengah di seluruh Malaysia adalah seramai 2912, manakala guru pula ialah seramai 630. Terdapat sebanyak 28 buah sekolah rendah, iaitu lima(kanak-kanak buta), dan 23 (kanak-kanak pekak). Manakala bagi sekolah menengah rendah pula, terdapat tiga buah sekolah pendidikan khas iaitu, satu (kanak-kanak buta) dan tiga (kanak-kanak pekak). Bilangan murid pendidikan khas integrasi pula adalah seramai 11 961, manakala gurunya pula adalah seramai 2587 orang.
Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pendidikan khas pula adalah; Tadika(berusia tidak kurang 6 tahun), Sekolah Rendah(berusia 6+ hingga 14+ tahun) dan Sekolah Menengah (13+ hingga 19+ tahun. Semua kanak-kanak ini mestilah mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan individu atau orang lain.
Pendidikan Khas ialah suatu program pengajaran yang direka bentuk berpandukan ciri-ciri individu untuk memenuhi keperluan individu yang berpendidikan khas. Matlamat paling penting dalam pendidikan khas ialah untuk mencari dan membangkitkan keupayaan kanak-kanak berkeperluan khas. Pengajarannya yang bercorak individu direka untuk memenuhi keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan khas menyediakan peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum biasa atau perkhidmatan sekolah biasa.
DEFINISI PENDIDIKAN KHAS
Pendidikan khas ialah pengajaran yang direka bentuk untuk memenuhi keperluan istimewa kanak-kanak berpengetahuan khas ( Hallahan &Kaufman 2000). Mengikut Heward (2000) pula pendidikan khas boleh diterangkan dalam pelbagai perspektif. Pendidikan khas sebagai intervensi iaitu proses mencegah, menghapus atau mengatasi halangan yang mungkin menyebabkan pelajar daripada penyertaan aktif dalam sekolah atau masyarakat. Oleh itu Pendidikan Khas secara umumnya didefinisikan sebagai kaedah-kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan / kurang upaya. Ia merupakan satu program pendidikan yang ditujukan kepada golongan kurang upaya dari segi intelek, fizikal dan emosi serta sosialnya yang tidak mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang normal. 

SIAPAKAH KANAK-KANAK KHAS?
Kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak yang sederhana ataupun biasa ( 1) dalam ciri-ciri mental ( 2) keupayaan deria ( 3) dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal ( 4) dalam tingkah laku social- emosi ( 5) dalam keupayaan komunikasi atau ( 6) dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai atau perkhidmatan pendidikan khas supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan maksima.

VISI PENDIDIKAN KHAS
Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas ke arah kecemerlangan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

MISI PENDIDIKAN KHAS
Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment